Laman Mengopi Anda

“Dia Boleh Cuba Lagi” – Bapa Lee Chong Wei

25

“SAYA puas hati…saya cukup puas hati, dia sudah cipta sejarah tersendiri menjadi anak Malaysia pertama layak dua kali berturut-turut ke perlawanan akhir,” kata bapa jaguh badminton negara, Lee Ah Chai, 61.

Menurutnya, hanya nasib tidak menyebelahi anaknya itu bagi melakar sejarah lebih gemilang dengan merangkul pingat emas pertama negara di temasya Olimpik.

Katanya, anaknya sudah mempamerkan persembahan meyakinkan hingga memaksa pemain China, Lin Dan terpaksa bekerja keras dalam perlawanan akhir itu.

“Saya harap dia tidak putus asa, saya mahu dia cuba buat kali ketiga dan yakin boleh berjaya.

“Semuanya terserah kepada dia (Lee Chong Wei) kerana selagi termampu saya mahu dia terus mencuba,” katanya ketika ditemui selepas menonton aksi Datuk Lee Chong Wei menerusi televisyen di Pusat Rukun Tetangga (RT) Taman Serumpun, di Bukit Mertajam, malam tadi.

Ah Chai bersama kira-kira 30 orang yang terdiri daripada saudara dan jirannya memberi sokongan dan sorakan sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Semangat dan keyakinan ditunjukkan Ah Chai terhadap anaknya itu nyata tinggi kerana dia sendiri memakai baju T putih memaparkan tulisan ‘Datuk Lee Chong Wei, Gold Road To London’.

Suasana riuh di Pusat RT itu apabila Chong Wei menang set pertama, 21-15 berubah sugul apabila kalah di set kedua, 10-21.

Ah Chai dan penonton yang lain kembali ghairah apabila perlawanan sengit selepas kedua-dua pemain saling mengejar mata sebelum hampa apabila Lin Dan meraih mata kemenangan bagi merangkul pingat emas.

Sementara itu, Ah Chai mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada anaknya itu.

Katanya, walaupun gagal dalam misinya itu tapi berharap sokongan diberikan tidak berbelah bagi selepas ini.

“Sama-samalah kita terus beri sokongan kepadanya untuk melakar lebih banyak kejayaan pada masa depan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Leave A Reply

Your email address will not be published.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More